Thursday, 12 April 2012

Menjadi Lebih Baik Daripada Iblis.... Mari Bertaubat...

Telah diterangkan bahawa sesungguhnya Iblis telah datang berjumpa dengan Nabi Musa a.s. dengan berkata: "Wahai Musa, engkau adalah seorang yang telah diutus oleh Allah s.w.t. dan Dia telah berkata-kata denganmu secara langsung." Kemudian Nabi Musa a.s. berkata: "Memang benar apa yang kamu kata, kamu ini siapa dan apa yang kamu mahu dariku? Lalu berkata Iblis: "Aku adalah Iblis! Wahai Musa aku mau kamu tolong katakan kepada Tuhanmu bahawa seorang makhluk-Nya ingin minta taubat kepadaNya." Lalu Nabi Musa a.s. berdoa kepada Allah s.w.t. dan menyampaikan apa yang diucap oleh Iblis, kemudian Allah s.w.t. pun menurunkan wahyu yang bermaksud: "Wahai Musa, katakan padanya bahawa sesungguhnya Aku berkenan menerima permohonannya itu dengan syarat mestilah terlebih dahulu dia (Iblis) sujud di kubur Adam, kalau dia mahu sujud maka aku sedia mengampuni segala dosanya."


Setelah Nabi Musa a.s. menerima wahyu dari Allah s.w.t. maka Nabi Musa a.s. pun terus memberitahu Iblis tentang apa yang telah Allah perintahkan. Sebaik sahaja selesai Nabi Musa a.s. memberitahu segala perintah Allah s.w.t. maka dengan sombong dan bongkak Iblis berkata: "Wahai Musa, aku tidak sujud pada Adam ketika dia hidup di syurga, bagaimana aku hendak sujud padanya sesudah dia mati." Begitulah sifat sombong Iblis yang tetap dengan kedegilannya, walaupun dia tahu bahawa api neraka itu akan memakannya tapi dia tetap tidak mahu beriman pada Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud: "Dan bertaubatlah kamu semua wahai orang-orang  mukmin mudah-mudahan kamu semua beroleh kejayaan." Surah an-Nur, ayat 31

Semua manusia tidak sunyi daripada melakukan maksiat dan kesalahan. Sesungguhnya orang sempurna itu ialah bukan orang tidak pernah melakukan kesalahan atau dosa, tetapi orang yang sempurna itu ialah orang yang apabila tersalah melakukan maksiat tetapi segera memohon keampunan daripada Allah s.w.t. Dosa adalah penyakit batin yang apabila tidak diubati dan dirawat dengan segera ia boleh membawa kemudharatan kepada iman dan akidah seseorang. Apabila ia dibiarkan tanpa rawatan (taubat) maka ia akan menjadi semakin parah dan susah untuk dirawati. Sesungguhnya makhluk Allah s.w.t yang tidak berdosa hanyalah malaikat dan rasul sahaja. Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama bertaubat.

Mengikut Manhaj Salaf as-Soleh, antara syarat-syarat taubat yang wajib dipenuhi agar taubat di terima oleh Allah Azza wa-Jalla ialah:
1. Berazam dan bertekad meninggalkan (tidak mengulangi) perbuatan dosa itu.
2. Menyesali dan berduka di dalam hati terhadap perbuatan dosa yang dibuat.
3. Bersegera meninggalkan dosa yang telah dilakukan semata-mata kerana Allah.
4. Jika dosa yang dilakukan berkaitan dengan orang lain, syaratnya ia wajib membebaskan dirinya dari hak yang bukan miliknya untuk dikembalikan kepada yang berhak atau minta dihalalkan, ini bererti jika berupa harta benda wajib dikembalikan. Jika berupa fitnah, ghibah (umpatan), penghinaan, cacian, kutukan, laknat dan kezaliman, maka wajib meminta maaf daripada orang tersebut terutama terhadap kezaliman yang dilakukan kepadanya.

Allah s.w.t. jua lebih mengetahui..

No comments:

Post a Comment